Khamis, 23 April 2015

Calon BN di Permatang Pauh Terjawab! #PrkPermatangPauh


Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin diumumkan sebagai calon yang akan menggalas cabaran BN dalam pilihanraya Permatang Pauh 7 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan nama Suhaimi dalam majlis di Pusat Operasi BN di Permatang Pauh petang Khamis.

Menurut Muhyiddin, pemilihan calon amat rapi, diputuskan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan disokong oleh Ketua UMNO bahagian Permatang Pauk Datuk Zaidi Mohd Said.

Jelas Muhyiddin, PRK ini penting untuk tebus maruah BN.

"Kita hendak elak petanda setiap PRK di Pulau Pinang kita kalah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jentera PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan menggunakan strategi baharu bagi menawan hati pengundi menjelang 7 Mei ini.

Menurut Zahid beliau percaya menerusi strategi baharu, jentera BN mampu menarik pengundi daripada pelbagai lapisan umur. "Kita tidak akan guna strategi lapuk lagi kerana matlamat utama kita adalah menang walaupun dengan majoriti satu undi.

"Kita sedar, kita bukan pilihan utama pengundi di sini, malah kita sentiasa diperlekehkan oleh pakatan pembangkang yang tidak senang dengan kita. Saya mohon, jangan putus asa dan teruskan berjuang hingga ke titisan terakhir," katanya .

Yang hadir sama, Presiden MIC, G Palanivel; Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.- AgendaDaily


Tiada ulasan: