Isnin, 25 Mei 2015

Misteri Kubur Besar PATI Jenayah Perdagangan Manusia di Perlis



Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.

Zahid berkata, beliau dimaklumkan tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lepas.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

"Hari ini, ketua polis negara dan timbalannya berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan penguatkuasaan yang longgar di kawasan Gunung Perlis di Wang Kelian di sini, kira-kira dua kilometer dari Thailand, sehingga menjadi bukan sahaja laluan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga penempatan mereka sejak sekian lama.

Gunung Perlis yang mengambil masa sejam setengah perjalanan mendaki dari kaki gunung tersebut di hutan simpan Taman Nege­ri di sini, turut berkongsi puncak dengan negara jiran itu di sebelah kanan.

Shahidan yang meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau kawasan kaki bukit di situ ternyata berang kerana penguatkuasaan yang lemah sehingga gagal mengesan penempatan PATI di kawasan tersebut.

“Seharusnya penguat kuasa seperti renjer meninjau kawasan itu sekurang-kurangnya sebulan sekali, namun apa yang berlaku ia menjadi penempatan PATI sejak sekian lama.

“Di situ juga saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa kita menemukan kubur-kubur besar mengandungi lebih 100 mayat warga asing. Mayat-mayat dicampak begitu sahaja (dalam lubang),” katanya di sini, hari ini.

Shahidan seterusnya percaya kegiatan itu turut melibatkan 
rakyat tempatan dan kemungkinan juga membabitkan pihak penguat kuasa, sekali gus menggesa golongan tersebut diambil tindakan sekiranya terbukti bersalah.

“Saya kesal kerana ini merupakan satu bentuk kezaliman manusia dan malangnya berlaku di negeri ini. Mereka meninggalkan kesan buruk yang cukup dalam kepada Perlis,” katanya yang enggan mendedahkan lokasi penemuan penempatan dan kubur lain.

Menurut beliau, maklumat lanjut berhubung penemuan kubur berkenaan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan melawat kawasan tersebut esok.
Katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung penguatkuasaan yang lemah di kawasan itu bagi mengelak perkara berkenaan berulang.






1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mopti Maza buat apa?

Dok kira banyak mana opti yg dapat hasil ceramah kutuk sana sini. Wei Mopti mana suara kamu?